Suatu ketika, seorang guru Sultan Muhammad al-Fatih yang bernama Syeikh Aq Syamsuddin masuk ke istana ketika Sultan Muhammad al-Fatih sedang bermesyuarat dengan para pembesarnya. Melihat kedatangan gurunya itu, Sultan Muhammad al-Fatih kelam kabut bangun menyambut gurunya.
Perdana Menteri Uthmaniyah yang bernama Mahmud Pasha bertanya pada Sultan mengapa baginda menyambut Syeikh Aq Syamsuddin sebegitu sedangkan baginda tidak pernah melakukannya pada sesiapa.Sultan Muhammad al-Fatih menjawab, "Perasaan hormatku pada lelaki ini (Syeikh Aq Syamsuddin) sangat mendalam. Apabila orang-orang lain berada di sisiku, tangan mereka akan menggeletar. Sebaliknya, apabila aku melihatnya, tangan aku pula yang menggeletar.” Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih boleh memiliki sifat menghormati guru begini?
Jawapannya, ayahnya sendiri yang memberikan rotan pada gurunya. Ketika Sutan Muhammad al-Fatih remaja, ayahnya iaitu Sultan Murad telah mengamanahkan pendidikan Sultan Muhammad al-Fatih pada seorang ulama yang sangat tegas dan garang yang bernama Mullah Kurani. Di samping itu, Sultan Murad II juga memberikan rotan atau kayu pada Mullah Kurani supaya Mullah Kurani memukul Sultan Muhammad al-Fatih sekiranya al-Fatih ingkar dengan sebarang arahan Mullah Kurani.
Dalam sebuah majlis di istana, Mullah Kurani berkata pada Sultan Muhammad al-Fatih “Ayahmu telah mengutuskan aku kepadamu dan menyuruhku untuk mengajarimu. Baginda memerintahkan aku untuk memukulmu sekiranya engkau mengingkari perintahku.” Mendengar kata-kata Mullah Kurani itu, Sultan Muhammad al-Fatih pun ketawa kerana baginda menyangka Mullah Kurani hanya bergurau dengannya. Sejak itu, Sultan Muhammad al-Fatih sangat takut dengan Mullah Kurani. Baginda tidak berani membantah setiap suruhan dan arahan Mullah Kurani. Hasilnya, dalam tempoh yang singkat baginda berjaya menghafaz Al-Qur’an di bawah bimbingan Mullah Kurani.
Maka ketahuilah, sultan yang telah berjaya 'memukul' empayar Rom, pernah dipukul oleh gurunya.
Comments
Post a Comment